Polis buru wanita ucapan hasut kaitkan TYT

TAWAU: Polis memburu seorang wanita dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika Himpunan ‘Solidarity Justice For Zara’ di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada orang awam yang mendakwa ucapan wanita terbabit menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

“Wanita itu antara individu diberi peluang berucap dalam himpunan berkenaan. Ucapan berkenaan didakwa mengandungi unsur hasutan terhadap TYT dan menimbulkan keresahan awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, hari ini.

Menurutnya, identiti suspek sudah dikenal pasti dan beberapa saksi lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Jasmin menegaskan, siasatan akan dijalankan secara telus mengikut prosedur bagi memastikan keadilan semua pihak.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam kerana tindakan tegas menanti.