PKK UMS tawan Bukit Maragang, perkukuh semangat berpasukan

KOTA KINABALU: Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan Bukit Maragang menerusi penganjuran program bina pasukan yang diadakan baru-baru ini.

Ia bertujuan memperkukuh kerjasama dan hubungan kerja dalam kalangan kakitangannya.

Pengarahnya, Dr Rizal Zamani Idris, berkata program berkenaan dianjurkan bagi meningkatkan komunikasi, membina kepercayaan serta memupuk semangat kerja berpasukan melalui pelaksanaan aktiviti luar yang mencabar.

Beliau berkata, pendakian ke Bukit Maragang setinggi 2,232 meter merupakan kemuncak program yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

“Pendakian ini menuntut tahap disiplin, kesabaran serta sokongan berterusan antara ahli pasukan.

“Kejayaan menawan puncak membuktikan semangat setiakawan dan kesepaduan pasukan PKK UMS berada pada tahap yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu dikendalikan oleh Kelab Korporat UMS di bawah pimpinan Lolita Mohd Taib, dengan pengisian aktiviti yang dirangka secara berperingkat dan berasaskan pembelajaran melalui pengalaman.

Menurut Lolita, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk berkayak, menunggang ATV serta pendakian Bukit Maragang yang menjadi simbol kekuatan dan kerjasama pasukan.

Beliau berkata, setiap aktiviti dirancang untuk menguji kepimpinan, daya tahan serta keupayaan bekerjasama, selain menggalakkan interaksi yang lebih terbuka dalam kalangan peserta.

Program berkenaan diharap dapat memperkukuh silaturahim, meningkatkan motivasi kerja serta membentuk budaya kerja berpasukan yang lebih mantap dalam kalangan warga PKK UMS, selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan organisasi.