Peter Anthony gagal dapat perbicaraan semula kes palsu dokumen

PUTRAJAYA: Bekas Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, yang disabitkan atas tuduhan memalsukan dokumen gagal untuk mendapatkan perbicaraan semula selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan difailkannya pada 14 Mac lalu.

Hakim Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, tidak berlaku sebarang ketidakadilan berhubung laporan polis yang dibuat saksi pendakwaan, Shukur Din, yang telah dibahaskan secara meluas dalam rayuan akhir tahun lalu.

“(Peter) telah diberikan hak untuk didengar. Permohonan untuk semakan ditolak.

“Kegagalan panel rayuan terdahulu memasukkan (laporan polis Shukur sebagai bukti baharu) dalam alasan penghakiman menyeluruh tidak membawa kepada ketidakadilan,” katanya.

Turut bersidang ialah Hakim Noorin Badarudin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Pada 4 Mac, panel Mahkamah Rayuan lain menyampaikan alasan lisan penghakiman terhadap rayuan Peter.

Penghakiman penuh bertulis oleh Hakim Zaini Mazlan yang diedarkan minggu ini menjelaskan mengapa bukti baharu itu tidak membantu membebaskan Peter.

Shukur mendakwa seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mereka-reka perenggan akhir laporan polisnya bagi mengaitkan Peter dengan menggunakan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengelirukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi mendapatkan kontrak.

Peter berhujah bahawa laporan polis Shukur pada 9 Ogos 2018 membuktikan dia tidak bersalah dan kegagalan mendedahkannya semasa perbicaraan satu prejudis terhadap beliau.

Bekas menteri kerajaan Sabah pimpinan Warisan antara 2018 hingga 2020 itu berhujah bahawa beliau dinafikan hak untuk perbicaraan yang adil kerana tidak berpeluang menyoal balas Shukur berhubung laporan tersebut.

Mahkamah Rayuan tahun lalu membenarkan laporan polis itu dikemukakan sebagai bukti tambahan selepas Peter mendakwa hanya mengetahuinya melalui seorang rakan.

Permohonan semakan bekas presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu bertujuan mengetepikan sabitan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan memohon perbicaraan semula.

Peguam Haniff Khatri Abdullah berhujah bahawa alasan penghakiman setebal 16 muka surat tidak merujuk bukti baharu itu, sebaliknya hanya disebut dalam penghakiman bertulis 24 muka surat.