TAWAU : Karnival Ramadan Sabah mampu dijadikan acara tahunan sekali gus menjadi antara program tarikan utama di daerah ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, karnival ini akan dimasukkan dalam kalender Tawau berikutan sangat diterima baik oleh masyarakat.
Katanya, penyertaan masyarakat ini sangat menggalakkan berikutan menjadi tarikan utama beberapa kampung menyertai karnival ini.
“Pertandingan Pintu Gerbang Raya antara menjadi salah satu pengisian karnival ini adalah paling unik dan telah menjadi ikutan di daerah-daerah lain.
“Kita berharap karnival yang cukup meriah ini perlu dijadikan kalendar acara tahunan di daerah Tawau dan mendapat perhatian semua pihak termasuk kerajaan negeri,” katanya di sini kelmarin.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, karnival ini mampu menjadi platform dalam memperkukuhkan perpaduan komuniti berbilang kaum dan agama di daerah ini.
“Sebagai wakil rakyat sememangnya sangat menyokong penganjuran karnival ini kerana ia memberikan impak positif terhadap seluruh masyarakat di Tawau.
“Karnival ini perlu ditambah baik dengan pengisian yang lebih banyak dan memerlukan kerjasama semua pihak seperti kerajaan negeri, kementerian berkaitan dan syarikat-syarikat korporat,” jelas Nizam.
