Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tg Keramat terima sambutan luar jangka

PUTATAN: Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat menerima sambutan luar jangka apabila berjaya menarik 45 penyertaan daripada penduduk setempat, melepasi sasaran awal penganjur.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kejayaan itu menunjukkan sokongan kuat komuniti terhadap program berunsur kebudayaan dan kemasyarakatan.

Katanya, pertandingan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pejabat DUN, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Keramat serta Pejabat Parlimen Putatan.

“Pada awalnya kita menyasarkan sekitar 30 penyertaan sahaja, namun sambutan amat menggalakkan sehingga mencecah 45 peserta.

“Kita berharap program ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Kampung Pituru, Taman Pantai Lok Kawi.

Pertandingan itu mempertandingkan dua kategori iaitu lampu pelita ‘susul’ dan lampu berhias melibatkan tujuh kampung sekitar kawasan Tanjung Keramat.

Mazlan Mayut dari Kampung Pituru menjuarai kategori pelita ‘susul’, diikuti Mohd Khairi Abd Latip (Kampung Pasir Putih) dan Muhammad Annas Mahadzir (Kampung Lembising).

Bagi kategori lampu berhias, Baijuri Deris dari Kampung Muhibbah muncul juara, diikuti Shahrizal Azman dan Rina M Abdullah, masing-masing dari Kampung Contoh.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima RM1,500 berserta hamper, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM800.

Pertandingan berlangsung dari 10 hingga 18 Mac itu melibatkan Kampung Lembising, Muhibbah, Contoh, Meruntum, Pituru, Pasir Putih dan Sri Pandan.