KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sukau menegaskan kekuatan serta semangat perjuangan parti di kawasan itu kekal utuh walaupun Datuk Saddi Abdul Rahman bersama beberapa penyokongnya mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.
Ketua Pemudanya, Badrul Hisham Juhari, berkata tindakan tersebut tidak menjejaskan semangat jentera parti yang kini giat bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, keputusan Saddi itu disifatkan sebagai langkah mengecewakan ketika seluruh jentera sedang memperkukuh gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan.
“Bagi kami, tindakan ini memperlihatkan wajah sebenar mereka sebelum gelanggang PRN17 bermula. Selama ini mereka berselindung di bawah panji GRS dan menikmati pelbagai jawatan dalam GLC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas menikmati pelbagai keistimewaan itu, tindakan keluar parti tanpa alasan kukuh menunjukkan perjuangan yang tidak berprinsip serta hanya mementingkan kepentingan peribadi.
Beliau berkata, sepanjang memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Saddi dilihat kurang aktif memperjuangkan parti di peringkat akar umbi dan lebih gemar bergerak sendiri, terutama dalam isu pembangunan Pekan Baru Sukau.
“Kami berterima kasih kerana mereka keluar lebih awal sebelum PRN17. Sekurang-kurangnya parti kini lebih bersatu dan jentera dapat digerakkan tanpa sebarang gangguan dalaman,” ujarnya.
Badrul menegaskan, Pemuda PGRS Sukau akan terus berdiri teguh di belakang Datuk Juhari Janan, Ketua Bahagian PGRS Sukau merangkap calon tunggal GRS bagi kerusi Sukau, dan yakin kawasan itu akan kekal menjadi kubu kuat GRS pada PRN akan datang.