LABUAN: Seorang individu mengalami kerugian RM26,400 selepas terpedaya dengan tawaran jualan biskut yang dipromosikan menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata mangsa tertarik dengan iklan jualan biskut “Nyonya Mood” di Facebook sebelum berurusan dengan suspek melalui WhatsApp.
Mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi menerusi pautan yang diberikan, dipercayai menjadi punca pengambilalihan akses telefon bimbit dan akaun kewangan.
“Telefon mangsa didapati tidak berfungsi seketika sebelum kembali aktif dan beberapa transaksi kewangan dikesan berlaku tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut polis, taktik digunakan adalah dengan memikat mangsa melalui iklan jualan menarik sebelum memaksa pemasangan aplikasi daripada sumber tidak rasmi.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat turun aplikasi mencurigakan serta tidak berkongsi maklumat perbankan dan kod OTP.
Sebarang kes penipuan disaran dilaporkan segera kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
