Pemuda GRS dakwa rekod Mohamad Alamin ‘kosong’, persoal usaha bangunkan Kimanis

BONGAWAN: Ketua Pemuda PGRS Bongawan, AK Jamaluddin Pg Mohd Yassin, sekali lagi mengkritik rekod Datuk Mohamad Alamin sebagai Ahli Parlimen Kimanis, mendakwa hampir lima tahun mandat diberikan namun gagal membawa pembangunan di Bongawan.

Ini termasuk tetapi janji besar pembinaan Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis kekal masih tidak wujud.

Katanya, rakyat sudah penat menunggu projek yang hanya tinggal slogan kempen PRK 2020.

Menurutnya, kegagalan itu amat dirasai golongan muda yang menjadi kumpulan sasaran utama janji Mohamad, namun sehingga kini tiada satu pun perkembangan konkrit.

Malah, projek kolej komuniti yang telah diluluskan ketika era Tan Sri Anifah Aman juga didakwa tidak mendapat perhatian Mohamad, menyebabkan ia terus terhenti begitu sahaja.

Beliau berkata perkara itu menimbulkan persoalan mengapa Mohamad mahu bertanding di DUN Bongawan sedangkan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sendiri belum diselesaikan.

Tambahnya, rakyat Bongawan berhak mempertikaikan keupayaan Mohamad mengurus dua peranan sekali gus ketika rekod sedia ada pun tidak meyakinkan.

Mengulas isu tempatan, Jamaluddin menyentuh mengenai sisa kedai lama terbakar di Pekan Bongawan yang terus dibiarkan terbiar tanpa tindakan.

Katanya, keadaan itu mencerminkan kegagalan Mohamad menangani masalah kecil, apatah lagi projek besar seperti stadium dan kolej komuniti.

Beliau juga membidas tindakan Mohamad yang didakwa terlalu bergantung kepada pemimpin Umno Semenanjung dalam kempen di Bongawan.

Dakwanya, ia menunjukkan jentera tempatan lemah dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri, bertentangan dengan semangat autonomi Sabah dan perjuangan MA63.

Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat Bongawan memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami perjuangan negeri, dengan menyifatkan Tan Sri Anifah Aman sebagai tokoh yang konsisten memperjuangkan hak Sabah sejak sekian lama.

Katanya, pengalaman Anifah sebagai bekas Menteri Luar dan MP Kimanis jelas lebih meyakinkan untuk membawa pembangunan sebenar.