KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sindumin mendakwa Ketua Pemuda DAP Sabah tidak konsisten apabila mempersoalkan pelantikan Datuk Dr Yusof Yacob sebagai Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB).
Ketua Pergerakan Pemuda PGRS Sindumin, Walter @ Fikrie Antahar, berkata kenyataan Ketua Pemuda DAP Sabah, Cham Loong Wei bersifat spekulatif dan didakwa mencerminkan amalan politik berasaskan persepsi.
Menurutnya, pendirian Pemuda DAP Sabah itu bercanggah dengan pendekatan yang pernah dipertahankan oleh pimpinan DAP ketika era Kerajaan Pakatan Harapan 1.0, khususnya dalam mempertahankan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan walaupun berdepan pertuduhan mahkamah pada ketika itu.
“Ketika itu, prinsip menghormati proses kehakiman dijadikan hujah utama. Namun hari ini, prinsip yang sama seolah-olah diketepikan apabila melibatkan pelantikan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Walter @ Fikrie berkata pendekatan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada kritikan yang dibuat benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar kepentingan politik semasa.
Beliau turut berpandangan bahawa politik berasaskan sentimen dan persepsi bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap institusi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, khususnya sayap pemuda parti politik, supaya mengamalkan pendekatan kritikan yang konsisten, berfakta dan berprinsip demi kepentingan rakyat serta kestabilan pembangunan Sabah.
