Pemuda Gagasan Rakyat Sabah gesa isu ditangani secara berhemah

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa agar sebarang isu yang sedang menjadi perhatian masyarakat di negeri ini ditangani secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan rakyat.

Pemangku Ketua Pemudanya, Azrul Ibrahim berkata pendekatan matang dan menyeluruh perlu diambil, khususnya bagi isu yang melibatkan kepentingan awam.

“Pemuda Gagasan Rakyat Sabah berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan rakyat perlu ditangani dengan mengambil kira fakta, aspek perundangan serta kepentingan jangka panjang negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pergerakan itu turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Azrul turut mengingatkan golongan belia agar memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan perubahan positif, bukannya menyumbang kepada perpecahan atau penyebaran maklumat tidak sahih.

Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat Sabah menyeru semua pihak supaya menghormati proses yang sedang berjalan serta memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, katanya, akan terus komited memperjuangkan suara belia dan rakyat Sabah demi masa depan negeri yang lebih stabil dan progresif.