Pembantu tadbir Kewangan ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu penginapan hotel RM20,000

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu tadbir kewangan sebuah jabatan kerajaan negeri ini.

Menurut sumber, kakitangan terbabit disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh tuntutan penginapan hotel berjumlah kira-kira RM20,000.

“Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan 23 resit tuntutan penginapan hotel atas nama empat individu sedangkan kesemua penama tersebut tidak pernah menginap di hotel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tuntutan palsu dikemukakan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM20,000 dan resit palsu ini menggunakan nama beberapa hotel yang beroperasi di negeri ini.

“Suspek didapati menggunakan sebuah aplikasi dalam talian bagi membuat resit-resit palsu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek akan dituduh esok di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.