Pembaikan jambatan Tamparuli dijangka siap Ogos, kata Madius

KOTA KINABALU: Kerja pembaikan jambatan di Tamparuli, termasuk laluan lintasan jambatan rendah yang menjadi penghubung utama penduduk, dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata perkara itu dimaklumkan syarikat konsesi, Globinaco Sdn Bhd, dalam taklimat terkini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati berlaku mendapan susulan kira-kira 10mm pada papak konkrit jambatan.

“Kerja pemulihan melibatkan pengukuhan struktur melalui kaedah ‘jacketing’ serta penanaman cerucuk bagi tiang jambatan, masing-masing mengambil masa sekitar dua bulan,” katanya.

Madius turut memaklumkan cadangan pembinaan jambatan baharu kini di peringkat reka bentuk.

Beliau berharap proses itu dapat dipercepatkan, sambil menegaskan keutamaan adalah aspek keselamatan dan ketahanan struktur.