LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di simpang SK Sandau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, kereta berkenaan terbakar 100 peratus sejurus pelanggaran berlaku.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dari Balai Bomba Lahad Datu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mangsa dikeluarkan orang awam sebelum kenderaan terbakar sepenuhnya.
“Dua lagi mangsa lelaki yang menaiki lori, masing-masing berusia 24 dan 34 tahun, mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Mohammad Suait dan tamat sepenuhnya pada jam 4.38 petang.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.