Pemandu Bezza maut bertembung lori tangki di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas kereta Perodua Bezza yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit di Jalan selepas Bandar Balung, Tawau, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.44 pagi sebelum menghantar 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer.

Menurut Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak, pemandu Perodua Bezza telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori tangki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala lori dialihkan menggunakan kren oleh syarikat yang bertanggungjawab.

Operasi yang turut membabitkan KKM dan polis (PDRM) itu tamat sepenuhnya pada jam 1.10 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat.