Pelantikan ahli politik terajui GLC masih relevan, kata Aksyah

KOTA KINABALU: Pelantikan ahli politik sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih relevan bagi memastikan dasar serta hala tuju kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan, kata aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah.

Beliau berkata, kritikan pembangkang yang mengaitkan pelantikan tersebut dengan kegagalan reformasi institusi adalah pandangan sempit dan tidak mencerminkan struktur tadbir urus sebenar GLC.

Menurutnya, pengerusi daripada kalangan ahli politik berperanan sebagai pihak berkepentingan yang menterjemahkan dasar kerajaan kepada pelaksanaan organisasi, manakala kejayaan operasi GLC bergantung kepada profesionalisme barisan eksekutif.

Aksyah turut merujuk ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 yang menegaskan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kerangka pembangunan negeri.

Beliau berpandangan pelantikan ahli politik sebagai peneraju GLC penting bagi memastikan kesinambungan dasar dan penyelarasan hala tuju pembangunan Sabah.