KOTA KINABALU: Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Tourism, CoBT) di Sabah akan diberi penekanan utama sempena Sail Malaysia Passage To The East Yacht Yacht Rally 2026, sejajar dengan peningkatan minat pelayar antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan autentik dan berteraskan komuniti.
Pengarah Urusan Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha berkata minat terhadap CoBT semakin ketara dalam kalangan peserta, khususnya pelayar berulang yang mahukan interaksi lebih dekat dengan komuniti tempatan serta pengalaman luar bandar.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Sabah Tourism Board (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkaitan perancangan musim pelayaran tahun ini.
Menurut Sazli, Sabah terus menjadi destinasi pilihan pelayar antarabangsa susulan maklum balas positif terhadap kepelbagaian budaya, landskap semula jadi dan keterbukaan komuniti setempat.
Setakat 20 Januari, seramai 15 peserta telah mendaftar bagi rali tersebut berbanding sekitar 10 peserta pada tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan penyertaan.
Beliau turut memaklumkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dipertimbangkan sebagai lokasi persinggahan baharu, selain cadangan mewujudkan agenda “pelabuhan selamat” bagi memudahkan akses kapal layar asing.
Sementara itu, Joniston berkata penekanan terhadap CoBT selari dengan agenda kerajaan negeri memperkukuh pelancongan luar bandar dan memastikan manfaat ekonomi diagihkan kepada komuniti tempatan.
Katanya, pendekatan itu turut menyokong promosi pelancongan Sabah di bawah naratif Explore Sabahsempena Visit Malaysia 2026.
