KINABATANGAN: Semua ahli peladang di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diseru memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 24 Januari ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, sokongan itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan sektor pertanian di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kebajikan peladang perlu terus dipelihara menerusi wakil rakyat yang berpengalaman serta memahami keperluan komuniti luar bandar.
Katanya, calon BN bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai latar belakang serta komitmen dalam memperjuangkan isu berkaitan pertanian dan peladang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Nazri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas sokongan kepada calon BN di kedua-dua kawasan tersebut.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala PRK DUN Lamag pula melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Warisan.
