KOTA KINABALU: Sabah bakal menerima pelaburan baharu bernilai RM31 bilion daripada pelabur Singapura di Taman Perindustrian Minyak dan Gas, Sipitang, dengan perjanjian dimeterai dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka memerlukan 7,000 hingga 8,000 pekerja, memberi peluang pekerjaan besar kepada anak-anak Sabah.
“Pelaburan ini bukan sahaja melonjakkan ekonomi negeri, malah membuka ruang pekerjaan yang luas,” katanya.
Hajiji menambah pelaburan tempatan daripada Semenanjung, Sarawak dan syarikat Sabah turut menyumbang kepada lonjakan prestasi ekonomi negeri.
Menurutnya, dasar mesra pelabur dan penyediaan fasiliti seperti tanah serta kelulusan peraturan yang dipermudahkan memudahkan pelabur memulakan perniagaan.
Beliau turut mendedahkan hasil pendapatan negeri meningkat kepada RM7 bilion berbanding RM3 bilion ketika beliau mengambil alih pentadbiran, manakala rizab negeri kini mencapai RM8 bilion, berbanding kurang RM3 bilion sebelum ini.
“Ini bukti kestabilan politik dan dasar mesra pelabur memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
