KUDAT: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.58 malam itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kudat menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi pada jam 12.36 tengah malam.
Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Najib Jasri, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki dan terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba berdepan kesukaran ke lokasi akibat jambatan sempit serta wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba.
Dua mangsa, masing-masing lelaki berusia 74 tahun dan wanita berusia 73 tahun, ditemukan rentung di dalam bilik tidur pada jam 1 pagi.
Mayat mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi manakala mangsa kedua pada jam 3.50 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi.
