KOTA KINABALU: PAS Sabah menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini agar menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak bazar sepanjang bulan Ramadan.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata bazar Ramadan bukan sekadar lokasi aktiviti ekonomi, sebaliknya medan menghidupkan syiar Islam yang wajar disokong dengan kemudahan ibadah mencukupi.
Menurutnya, dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan pengunjung mendapatkan juadah berbuka, kewajipan menunaikan solat tidak seharusnya diketepikan.
“Penyediaan ruang solat berdekatan akan memudahkan peniaga dan orang ramai menunaikan ibadah dengan lebih selesa, teratur dan tidak tergesa-gesa.
“Ia juga dapat mengelakkan mereka terpaksa meninggalkan tapak bazar atau berkejar mencari masjid dan surau yang jauh,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, kemudahan ibadah yang baik bukan sahaja memudahkan urusan solat, malah membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa.
“Insya-Allah, apabila urusan ibadah dipermudahkan, rezeki yang diperoleh juga akan menjadi lebih berkat,” katanya.
Beliau berharap penganjur bazar, PBT serta agensi berkaitan memberi perhatian serius terhadap keperluan itu supaya bazar Ramadan di Sabah bukan sahaja meriah, malah dipenuhi nilai takwa dan menjadi contoh pengurusan mesra ibadah.
“Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan,” katanya.
