BEAUFORT: Paras air Sungai Padas melepasi paras bahaya susulan hujan lebat berterusan sejak 1 Jan, menyebabkan 13 kampung di daerah Beaufort terjejas banjir.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort memaklumkan, pemantauan dilakukan antara jam 2 petang hingga 4 petang hari ini, dengan cuaca cerah di Beaufort manakala mendung di Tenom, Keningau dan Sipitang.
Menurut laporan, hujan berterusan di Zon Keningau dan Zon Beaufort mengakibatkan limpahan Sungai Padas dan menaikkan paras air di kawasan rendah.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort menjalankan pemantauan di kampung terjejas termasuk Kampung Batu 60, Binunuk, Balibata, Bakalau, Bingkul, Lubak, Gumarit, Lago, Suasa, Koundu, Kukup, Kangsa dan Bangkalalak.
Beberapa jalan dilaporkan tidak boleh dilalui semua kenderaan, antaranya Jalan Kg Bakalau, Jalan Lago, Suasa, Koundu, Kukup, Kangsa dan Bangkalalak. Jalan Kg Binunuk, Balibata dan Gumarit hanya boleh dilalui kenderaan berat, manakala Jalan Batu 60 dan Bingkul masih boleh dilalui semua kenderaan.
Bacaan paras air Sungai Padas mencatat paras tertinggi 9.43 meter awal pagi tadi, melepasi paras bahaya 8.70 meter. Setakat jam 12 tengah hari, paras air direkodkan pada 9.37 meter.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan semasa.
