KOTA KINABALU : Pakar bedah otak dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) bersama pakar bius otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar terhadap seorang lelaki berusia 88 tahun mengalami kecederaan otak traumatik (TBI), baru-baru ini.
Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr.Mohd Sofan Zenian berkata, pesakit lelaki itu mengalami kecederaan tersebut apabila terjatuh ketika berjalan kaki di taman perumahannya dua minggu lalu kemudiannya mengalami pendarahan subdural kronik kiri yang besar (SDH).
Katanya, akibatnya pesakit terbabit mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan tidak jelas serta kelemahan badan di sebelah kanan.
“Memandangkan fungsi sarafnya yang semakin merosot, kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi bagi mengalirkan darah beku yang lama,” katanya.
“Tujuan melakukan pembedahan tersebut secara sedar adalah untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif, yang bertambah baik berikutan pengaliran kira-kira 30ml bekuan darah, dan pesakit difahamkan telah pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat memaklumkan pembedahan mini kraniotomi secara sedar kepada pesakit mengalami penyakit kardio-pernafasan, adalah tepat pada masanya.
“Prosedur ini akan mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakituntuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
“Ini juga penting untuk mengurangkan kadar jangkitan penyakit nosokomial di ICU,” katanya.
