.Ops Sapu ‘Bersih’ Kota Kinabalu, 62 PATI Dicekup

KOTA KINABALU: Seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Dalam operasi yang melibatkan 46 pegawai penguat kuasa, seramai 140 individu diperiksa di beberapa kawasan penempatan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing.

Daripada jumlah itu, 27 lelaki dan 35 wanita ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pas yang sah untuk berada di negara ini.

Tangkapan membabitkan 61 warga Filipina dan seorang warga Indonesia, yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut kenyataan, kesemua individu ditahan bagi siasatan lanjut dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi sepenuhnya.