Ops Luxury: 11 Kereta Mewah Disita JPJ Sabah, Termasuk Bentley, Mustang

KOTA KINABALU – Sebanyak 11 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menerusi Ops Luxury yang dijalankan secara berterusan sejak Jun hingga September lalu di seluruh negeri.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi khas itu memberi tumpuan terhadap pemilik kenderaan mewah yang didapati melanggar peraturan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan utama ialah tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah serta ketiadaan perlindungan insurans aktif. Ops ini difokuskan kepada kenderaan mewah yang bergerak di jalan raya tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Antara model yang terlibat ialah Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes-Benz, Ford Mustang, BMW 320i, Nissan Skyline, Nissan Fairlady dan Land Rover Defender.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan dilakukan melalui pengeluaran saman serta sitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Daripada jumlah itu, tujuh kenderaan disita di Kota Kinabalu, dua di Tawau, satu di Sandakan dan satu lagi di Beaufort,” katanya.

Mohd Harris menegaskan, semua pemilik terlibat perlu segera membetulkan kesalahan termasuk memperbaharui LKM serta mengaktifkan semula insurans sebelum kenderaan mereka dibenarkan dilepaskan.

Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan agar sentiasa bertanggungjawab memastikan dokumen kenderaan dikemas kini dan sah dari segi undang-undang.

“Memiliki LKM dan insurans bukan sahaja wajib mengikut undang-undang, malah penting bagi perlindungan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

JPJ Sabah dalam pada itu menegaskan operasi penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan.