Oleh Dr. Jakaria Dasan
Perkataan nuansa dalam tulisan ini bukan bertujuan mengkritik atau memihak kepada mana-mana parti politik. I
a sekadar mengajak pembaca menilai dengan lebih mendalam perbezaan konteks, niat dan pendekatan dalam dunia politik, serta bagaimana strategi dan tindakan ahli politik memberi kesan langsung kepada rakyat.
Dalam dunia politik, suasananya sering diibaratkan seperti permainan catur — penuh strategi, helah dan langkah yang sukar dijangka.
Setiap pemain mempunyai peranan tersendiri: ada “raja” yang mesti dilindungi, “menteri” yang bergerak pantas, dan “bidak” yang kelihatan kecil tetapi mampu mengubah keputusan jika digerakkan dengan bijak.
Percaturan politik merujuk kepada strategi yang dirancang oleh pemain politik untuk mencapai matlamat — sama ada mengekalkan kuasa, membentuk pakatan, atau menggugat lawan.
Istilah ini bersifat neutral dan sering digunakan dalam wacana akademik serta laporan media bagi menggambarkan seni strategi politik yang sah.
Namun, apabila percaturan itu menjurus kepada agenda peribadi dan bukan kepentingan rakyat, di situlah timbul persoalan tentang moral dan kejujuran politik.
Mencatur politik, pula membawa konotasi yang lebih aktif dan taktikal. Ia menggambarkan kehadiran “tangan tersembunyi” yang mengatur langkah di papan kuasa.
Ungkapan seperti “pemimpin itu pandai mencatur politik dalaman partinya” sering kedengaran. Kepintaran mencatur boleh dianggap kelebihan, tetapi jika terlalu licik hingga rakyat menjadi mangsa, ia bukan lagi kebijaksanaan — sebaliknya manipulasi.
Politik catur pula digunakan secara metaforik untuk menggambarkan sistem politik keseluruhan sebagai papan permainan kuasa. S
etiap pemain mempunyai peranan dan simbol: raja, menteri, benteng, kuda dan bidak — manakala rakyat pula sering menjadi pemerhati, kadangkala peserta tidak langsung.
Dalam konteks ini, kemenangan bukanlah matlamat tunggal. Yang lebih penting ialah bagaimana setiap langkah politik membawa manfaat kepada rakyat, bukan sekadar kemenangan di papan kuasa.
Setiap kali suasana politik memanas — orang Sabah bilang “semakin hangat” — rakyat akan memerhati siapa bersekutu dengan siapa, siapa berpaling tadah, dan siapa muncul sebagai pemain baharu.
Seperti permainan catur, politik juga menuntut strategi, tetapi taruhan di papan kuasa bukan sekadar kemenangan — ia melibatkan masa depan rakyat sendiri.
Jika setiap pemain politik melihat permainan ini bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menamatkannya dengan maruah dan kejujuran, rakyat pasti akan kembali mempercayai politik itu sendiri.
Hakikatnya, politik bukan tentang siapa paling pandai mencatur, tetapi siapa paling ikhlas membela rakyat.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, senario politik negeri ini menjadi lebih menarik dari segi percaturan dan strategi kuasa.
Apa yang menjadikannya lebih kompleks ialah kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kempen politik — daripada analisis data pengundi hingga penyusunan mesej kempen mengikut demografi.
Dalam “papan catur politik” baharu ini, setiap langkah kini boleh dioptimumkan oleh algoritma pintar, menjadikan permainan semakin strategik dan sukar dijangka secara tradisional.
Akibatnya, perbezaan antara kebijakan, visi, dan karisma pemimpin semakin kabur. Rakyat bukan lagi sekadar menilai retorik, tetapi juga bagaimana teknologi membentuk persepsi politik mereka.
Politik catur moden kini bukan sekadar tentang siapa bijak berstrategi, tetapi siapa lebih mahir menggunakan teknologi untuk menggerakkan “buah catur” mereka — sama ada dengan cara sahih atau manipulatif.
Fenomena ini menandakan satu nuansa baharu politik moden: rakyat kini lebih sedar bahawa strategi digital dan AI turut mencorakkan naratif pilihan raya.
Politik Sabah, seperti catur, kini mencerminkan pertembungan antara strategi tradisional dan teknologi moden — menghasilkan warna politik yang semakin kompleks dan memerlukan kefahaman mendalam daripada pengundi.
Semoga penulisan ini diterima sebagai satu renungan objektif, bukan partisan — demi masa depan negeri dan negara yang memerlukan kepimpinan berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab membimbing tanah air tercinta menuju kemajuan.
Tentang Penulis:
Dr. Jakaria Dasan ialah Profesor Madya di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kepakarannya tertumpu kepada pembangunan sumber manusia, komunikasi strategik dan pembangunan komuniti.
Pernah berkhidmat hampir 10 tahun sebagai Setiausaha Sulit dan Pegawai Perhubungan Awam kepada seorang Menteri Sabah sebelum menyertai UMS pada tahun 2006.
Berdasarkan pengalaman itu, beliau kini lebih selesa menjadi pemerhati politik semasa.
