MySpace Bukan Sekadar Slogan, KBSK Diarah Tingkat Standard Kerja – Nizam

KOTA KINABALU: Penggunaan nama dan slogan MySpace bukan sekadar perubahan jenama, sebaliknya mesej tegas supaya seluruh warga Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bekerja dengan standard tinggi dan komitmen penuh kepada rakyat Sabah.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata rakyat menilai kerajaan melalui kualiti perkhidmatan, bukan slogan atau retorik.

Beliau menegaskan KBSK tidak boleh lagi dilihat sebagai kementerian pinggiran yang sekadar mengurus acara bermusim, sebaliknya mesti berfungsi sebagai kementerian strategik dalam pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif selari dengan agenda Sabah Maju Jaya 2.0.

“Belia bukan liabiliti, tetapi aset strategik Sabah. Kegagalan mengurus belia hari ini bermakna kita menangguhkan masalah sosial masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Dalam sektor sukan, beliau berkata pembangunan sukan akar umbi dan atlet berprestasi tinggi perlu bergerak seiring dengan pembinaan ekosistem sukan mampan supaya sukan menjadi industri yang menyumbang kepada ekonomi negeri.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah akan dilancarkan tahun ini bagi menjaga kebajikan atlet dan penggiat sukan secara berterusan.

Mengulas ekonomi kreatif, Nizam berkata kekayaan budaya dan seni Sabah perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan sekadar pameran simbolik.

Beliau turut menegaskan pendirian sifar toleransi terhadap rasuah dan salah guna kuasa, sambil menekankan integriti sebagai asas kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.