MOTAC perlu iktiraf ‘FKAT’ sebagai produk pelancongan baharu negara – Nizam

TAWAU : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mengiktiraf Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) sebagai antara produk pelancongan utama di negara ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) disarankan menghantar permohonan rasmi kepada MOTAC bagi membolehkan FKAT disenaraikan dalam kalendar pelancongan kebangsaan.

Nizam ketika hadir di majlis tersebut.

Katanya, langkah itu penting sebagai persiapan awal menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memartabatkan FKAT di peringkat lebih tinggi.

“Walaupun FKAT sudah pun diiktiraf sebagai antara acara penting dalam kalendar pelancongan negeri oleh Lembaga Pelancongan Sabah, namun ia masih belum mendapat pengiktirafan rasmi di peringkat persekutuan.

“Kita mahu melihat FKAT diangkat sebagai acara pelancongan bertaraf nasional. Kita menyeru agar MPT mengambil tindakan segera dengan menghantar permohonan rasmi kepada MOTAC,” katanya.

Nizam bersama peserta dalam majlis FKAT.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau melahirkan keyakinan menjadikan FKAT sebagai acara pelancongan nasional sekali gus mendapat perhatian Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan, sebagai anak jati Sabah.

“Insya-Allah, kita akan panjangkan perkara ini kepada Menteri dan Timbalan Menteri MOTAC. Saya percaya mereka akan melihat FKAT sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan keunikan budaya rakyat Sabah di peringkat global.

Antara persembahan dalam majlis makan malam FKAT.

“FKAT bukan sekadar meraikan pelbagai budaya, malah menjadi simbol keharmonian dan kesatuan rakyat pelbagai kaum, khususnya di Tawau,” jelas Nizam.

Menurutnya, penganjuran FKAT sejak 2011 bukan sahaja memartabatkan warisan budaya pelbagai etnik di daerah Tawau malah memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat.

“Tahun ini, FKAT menyaksikan penyertaan 30 etnik tempatan dan delegasi dari tiga negara luar, iaitu Kazakhstan, Filipina dan Indonesia, menjadikan Tawau destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan yang semakin menyerlah.

Antara peserta menunjukkan persembahan pada majlis makan malam.

“Festival ini bukan sahaja menampilkan persembahan budaya dan perarakan, malah turut disertai pameran etnik, gerai makanan tradisional serta jualan hasil kraftangan yang mencerminkan kekayaan budaya daerah ini,” kata Nizam.

Tema ‘Kepelbagaian Budaya’ pada edisi kali ini memberi penekanan kepada aspek kepahlawanan, makanan tradisional dan adat perkahwinan pelbagai etnik di Tawau.

“Kita menjangkakan kehadiran lebih 50,000 pengunjung pada hari kemuncak festival berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima pada edisi sebelum ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Nizam memaklumkan pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau atau Tawau International Cultural Centre (TICC) sedang giat dijalankan sekali gus dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Antara negara Yang mengambil bahagian dalam FKAT tahun ini.

“TICC bakal menjadi mercu tanda baharu yang bukan sahaja menjadi lokasi utama penganjuran acara budaya.

“Malah simbol pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kekayaan warisan dan sumbangan masyarakat majmuk di Tawau,” katanya.