PUTATAN – “Sokongan rakyat adalah tunjang kepada komuniti sihat dan cerdas,” tegas Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang menggesa penduduk di daerah ini agar terus aktif menyertai program masyarakat dan sukan setempat.
Beliau berkata, pembabitan menyeluruh penduduk mampu memperkukuh hubungan kejiranan sekali gus menyemai amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat.

“Kalau kita sama-sama menyokong program seperti ini, kita tidak hanya melahirkan generasi sihat tetapi juga komuniti yang lebih berfikiran matang dan berdaya saing.
“Saya mahu penduduk Putatan terus turun padang menyertai apa saja acara kemasyarakatan sama ada dianjurkan kerajaan, NGO mahupun komuniti — semua demi manfaat bersama,” katanya ketika merasmikan Festival Sukan PPR Taman Sri Serigai, Tanjung Keramat, hari ini.

Pelbagai acara menarik dianjurkan termasuk pertandingan dart, karom dan futsal yang berjaya menarik penyertaan aktif pelbagai peringkat umur.
Dalam pada itu, Shahelmey turut mengumumkan perancangan untuk menganjurkan kejohanan dart peringkat Parlimen Putatan, susulan peningkatan mendadak minat terhadap sukan tersebut

“Ramai beritahu saya bahawa sukan dart kini semakin diminati dan Putatan tidak terkecuali. Jadi, kita akan cuba realisasikan penganjuran di peringkat yang lebih besar dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.
