KOTA KINABALU: Tindakan serta-merta akan diambil terhadap sebarang kandungan di media sosial yang menyalahi undang-undang atau melanggar peraturan pilihan raya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan banyak aktiviti kempen dijangka dijalankan secara dalam talian.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya terdapat kandungan yang dikenal pasti melanggar peraturan pilihan raya.
“MCMC juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi taklimat kepada wakil calon mengenai tatacara membuat aduan berkaitan penyebaran maklumat palsu atau bahan tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Fahmi berkata, MCMC turut dijadualkan bertemu dengan wakil META dan TikTok di Singapura minggu depan bagi memberi penegasan terhadap pematuhan undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dalam Program Sumbangan Tabung Kasih HAWANA di sini, semalam.
Pada program itu, wartawan Asia Times Pulse, John Tambanan, menerima sumbangan daripada Tabung Kasih HAWANA selepas rumahnya terjejas teruk akibat banjir pada September lalu.
John merupakan penerima ke-31 di Sabah dan ke-533 di seluruh negara sejak Tabung Kasih HAWANA diwujudkan, dan beliau turut menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas keprihatinan kementerian terhadap kebajikan warga media yang terjejas akibat bencana.
