KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Kumpulan SEDCO, Datuk Masiding Banah, menggesa perubahan menyeluruh terhadap budaya kerja dan sistem tadbir urus agensi itu bagi memastikan peranannya sebagai pemacu ekonomi Sabah dapat diperkasakan secara berkesan.
Masiung menegaskan pegawai eksekutif, termasuk ketua anak-anak syarikat di bawah SEDCO, perlu berfungsi sebagai satu pasukan dan meninggalkan budaya kerja pasif yang disifatkannya sebagai sekadar “makan gaji” tanpa inisiatif meningkatkan nilai pelaburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut itu mula melapor diri secara rasmi kelmarin selepas menerima pelantikan kerajaan negeri minggu lalu, sebelum diberikan taklimat pengurusan oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk James Wong Kien Peng, yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin.
Menurut Masiung, pembaharuan pentadbiran yang dicadangkan menuntut pendekatan kerja berpasukan merentasi semua entiti di bawah Kumpulan SEDCO, selain menolak amalan ego dalam pengurusan korporat.
“Kita menetapkan sasaran supaya Kumpulan SEDCO muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi Sabah dalam laporan tahunan. Untuk itu, kita memerlukan barisan pegawai profesional dengan tahap prestasi yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap cadangan projek dan pelaburan perlu melalui penilaian terperinci dari sudut kebolehlaksanaan dan pulangan ekonomi, sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita tidak boleh melaksanakan pelaburan secara tergesa-gesa tanpa perancangan matang. Setiap keputusan mesti berpaksikan keuntungan, kelestarian dan kepentingan jangka panjang negeri,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan tadbir urus, Masiung mencadangkan agar Kumpulan SEDCO mengemukakan laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan, sebagai mekanisme pemantauan dan akauntabiliti.
Beliau turut menggesa pembuat dasar agar setiap rangka kerja pembangunan yang dirancang oleh SEDCO berteraskan keperluan rakyat, sebelum dibawa untuk pertimbangan Lembaga Pengarah.
