Marche Kota Kinabalu dijangka pacu ekonomi, gaya hidup moden bandar raya

KOTA KINABALU: Projek Marche Kota Kinabalu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan selain memperkukuh kedudukan bandar raya ini sebagai destinasi gaya hidup moden dan pelancongan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pembangunan itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi Kota Kinabalu dan Sabah yang semakin berkembang pesat.

Menurutnya, sebagai pusat beli-belah gaya hidup berkonsep terbuka yang pertama di bandar raya ini, Marché Kota Kinabalu bukan sahaja berdaya saing dari sudut komersial, malah menekankan elemen mesra komuniti, inklusif dan berorientasikan manusia.

“Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembinaan sebuah destinasi yang menghubungkan masyarakat, meraikan budaya tempatan dan menyediakan pengalaman berkualiti kepada penduduk serta pelawat,” katanya pada Acara Pratonton Eksklusif projek Marché Kota Kinabalu, di sini.

Beliau berkata, projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, membuka ruang keusahawanan khususnya kepada belia serta mengukuhkan ekosistem ekonomi tempatan melalui sokongan kepada pembekal, usahawan dan penyedia perkhidmatan.

Nizam turut berkata, penyertaan jenama sukan antarabangsa bertaraf utama sebagai penyewa utama kompleks sukan tiga tingkat dalam projek itu mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap Sabah.