KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah bekalan air terawat, jalan raya dan jambatan luar bandar yang masih membelenggu penduduk di kawasan Parlimen Tuaran.
Beliau berkata, hampir setiap kampung dan pekan di Tuaran berdepan masalah air terawat, manakala banyak jalan luar bandar masih tidak berturap dan sukar dilalui terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.
“Di DUN Tamparuli, empat kawasan utama — Penimbawan, Lok Nunuk, Sambah dan Baru-Baru — memerlukan naik taraf loji dan pemasangan paip baharu bagi menstabilkan bekalan air,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, walaupun projek Loji Air Terawat BALB Penimbawan–Lok Nunuk–Sambah–Baru-Baru berkapasiti 4 juta liter sehari (MLD) telah dipersetujui, kapasiti itu perlu ditingkatkan kepada 16 MLD bagi menampung permintaan di kawasan sekitar Tenghilan.
Madius turut menyentuh pembatalan Projek BALB Terawat Kapa–Sinalapak yang sepatutnya membekalkan air kepada lebih 10 kampung dan 10 sekolah rendah di Kadamaian, dan berharap ia dimasukkan dalam rancangan naik taraf Loji Bayayat berkapasiti 34 MLD.
Selain itu, beliau menegaskan masih terdapat 44 batang jalan luar bandar sepanjang 165 kilometer di Tuaran yang perlu dinaik taraf dengan anggaran kos RM330 juta, bagi memastikan kemudahan rakyat dan aktiviti ekonomi tempatan tidak terus terjejas.