Luruan Angin Dijangka Landa Sandakan, Lahad Datu – Penduduk Diminta Bersiap Sedia

PUTATAN: Penduduk di Sandakan dan Lahad Datu dinasihatkan agar bersedia menghadapi luruan angin dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, susulan fenomena cuaca ekstrem yang melanda Pantai Barat Sabah baru-baru ini.

Amaran itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menegaskan pentingnya kesiapsiagaan rakyat termasuk mematuhi sebarang arahan pemindahan yang bakal dikeluarkan.

“Ini bukan untuk menimbulkan panik, tetapi untuk memastikan semua bersedia. Kita bimbang luruan angin akan berpindah ke kawasan Sandakan dan Lahad Datu dalam masa terdekat,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Sri Keramat, di sini.

Jambatan Rosak, Laluan Terputus

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa beberapa jambatan harian di Sabah rosak teruk akibat banjir dan tanah runtuh.

Jelasnya, kerajaan akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membina laluan alternatif sementara sebelum jambatan baharu dibina.

“Kita mahu pastikan akses rakyat tidak terputus. Kerja pembaikan akan disegerakan,” katanya.

Rumah Rosak Akan Dibaik Pulih

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sedang meneliti senarai rumah rosak yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah untuk tindakan pembaikan atau pembinaan semula.

GIATMARA turut digerakkan bagi membantu kerja pendawaian semula di rumah-rumah yang masih boleh diduduki.

Pembersihan Pasca-Banjir Dipergiat

Kerajaan turut mempercepatkan usaha pembersihan pasca-banjir dengan bantuan lori tangki air dan mesin water jet, selain sokongan dari badan bukan kerajaan (NGO).

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.