KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya membina sebanyak 29,443 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di seluruh Sabah sepanjang hampir enam dekad penubuhannya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan peranan strategik LPPB sebagai agensi utama kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat.
Menurutnya, selain perumahan kos rendah, LPPB turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) serta projek komersial yang membantu merapatkan jurang sosioekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Kerajaan negeri menghargai sumbangan besar LPPB yang konsisten melaksanakan projek perumahan di seluruh Sabah selaras dengan visi pembangunan inklusif dan seimbang,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, seiring Belanjawan Negeri Sabah 2026, kerajaan negeri melalui LPPB akan meneruskan pelaksanaan projek PAKR di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas, selain pembangunan 2,358 unit RMM di Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu.
Selain sektor perumahan, beliau berkata LPPB turut diberi mandat membangunkan sembilan pekan baharu iaitu di Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu Sebatik, Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran dan Penangah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan negeri akan menambah kuota Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, tambahan 10 unit itu dikhaskan kepada golongan berumur 40 tahun ke bawah yang telah berumah tangga dan belum memiliki rumah sendiri.
“Setiap projek yang dibangunkan bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya membawa harapan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
