Longgokan tayar 3 ekar terbakar di Kayu Madang

KOTA KINABALU: Kebakaran melibatkan longgokan tayar di Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok awal pagi tadi membabitkan kawasan dianggarkan seluas kira-kira tiga ekar.

Dalam kejadian itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 12.36 pagi.

Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin, berkata sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran sedang marak melibatkan longgokan tayar di kawasan pelupusan berkenaan.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tankerbomba.

“Anggota turut melaksanakan ‘fire break’ di sekeliling kawasan longgokan tayar dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator bagi mengawal dan menghalang kebakaran daripada terus merebak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan seramai 30 anggota daripada BBP Tuaran, BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas serta Unit Komunikasi, selain turut dibantu DBKK.

Katanya, setakat ini tiada mangsa dilaporkan dan operasi pemadaman serta kawalan masih dijalankan.