Lima kesalahan direkodkan sepanjang kempen PRK Kinabatangan-Lamag – SPR

KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan lima laporan kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, empat kes melibatkan kesalahan bahan kempen manakala satu kes lagi berkaitan provokasi.

Menurut beliau, kesemua laporan itu kini dalam tindakan badan pemantau yang dilantik tanpa sebarang laporan polis dibuat setakat ini.

“Setakat tinjauan di beberapa pusat mengundi, suasana adalah tenang dan teratur dengan pengundi hadir menunaikan tanggungjawab secara tertib,” katanya selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam, hari ini.

Sebanyak 36 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi membabitkan 117 saluran mengundi.

Ramlan berharap semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya serta menerima keputusan yang diumumkan dengan berlapang dada demi menjaga keharmonian negara.