Lelaki warga asing ditahan ugut sebar video peribadi wanita

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kurang 24 jam selepas disyaki mengugut untuk menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita dalam kejadian di Merotai Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan oleh anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di kawasan Gerai Kampung Merotai Besar.

Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon sekitar jam 10.35 pagi.

“Suspek mengugut untuk menyebarkan video dan gambar peribadi mangsa sekiranya gagal menyerahkan sejumlah wang,” katanya.

Katanya, suspek turut dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam sehingga mengganggu keharmonian rumah tangga mangsa.

Polis menemui sebilah pisau sepanjang 16 sentimeter serta dua telefon bimbit dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.