TAWAU: Inisiatif kerajaan Sabah melalui Ko-Nelayan disifatkan sebagai pemangkin penting dalam mengubah kehidupan nelayan di pantai timur negeri ini keluar daripada kepompong kemiskinan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelaksanaan skim pembiayaan, bantuan enjin bot dan pengenalan aplikasi digital e-Smart membuktikan komitmen kerajaan menjadikan sektor perikanan sebagai sumber ekonomi yang mampan.
Beliau berkata, lebih RM400,000 diperuntukkan khusus untuk membantu nelayan terpilih di kawasan Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu dalam usaha meningkatkan hasil tangkapan serta pendapatan mereka.
“Saya ingin ucapkan syabas kepada Ko-Nelayan kerana berjaya menganjurkan program penting ini. Ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi bantuan kewangan dan peralatan, tetapi turut membuka peluang ke arah digitalisasi sektor perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Skim Pembiayaan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan dan Keusahawanan Ko-Nelayan Tawau 2025, di sini semalam.
Nizam merupakan ADUN Apas berkata, kejayaan ramai nelayan keluar daripada kategori miskin membuktikan rakyat telah memanfaatkan peluang disediakan kerajaan dengan sebaiknya.
“Ramai nelayan kini mampu berdikari dan hidup lebih selesa hasil inisiatif ini. Ini menunjukkan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam membela golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Selain penyerahan bantuan, program turut diselitkan dengan kursus peningkatan kapasiti bagi memperkukuh daya saing nelayan dalam sektor perikanan yang semakin mencabar.