Klinik Kesihatan Likas Sesak, Warga Emas Tertekan Dapatkan Rawatan

KOTA KINABALU: Pesakit terpaksa bersesak dan menunggu lama di Klinik Kesihatan Likas untuk mendapatkan rawatan serta menghadiri temu janji bersama Pegawai Perubatan berikutan keadaan lokasi yang sempit dan kemudahan parkir yang terhad.

Tinjauan Sabah News Today (SNT) selepas menerima rungutan daripada beberapa pesakit mendapati kekurangan kemudahan parkir memaksa orang ramai berkongsi ruang dengan penduduk Kampung Likas, sekali gus menambah kesesakan di sekitar kawasan klinik terutama pada waktu puncak.

Seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Ali berkata, keadaan tersebut menyebabkan pesakit terpaksa berjalan jauh sebelum tiba di klinik kerana kawasan sekitar kelihatan sesak dan sukar mendapatkan tempat meletak kenderaan.

“Ini sekali gus menambah beban pesakit, terutama warga emas yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan kerana kawasan sekitar klinik sentiasa dipenuhi kenderaan,” katanya ketika ditemui.

Selain itu, situasi berkenaan bukan sahaja menyukarkan urusan rawatan harian, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, khususnya kepada warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan.

Orang ramai berharap pihak berkaitan dapat meneliti isu kekurangan parkir serta kesesakan di Klinik Kesihatan Likas bagi memastikan keselesaan pesakit dan kelancaran perkhidmatan kesihatan awam di kawasan berkenaan.