KK Cleanup: Lebih 100,000 botol plastik dikitar semula guna inisiatif baharu DBKK

KOTA KINABALU: KK Cleanup 2.0, khidmat komuniti oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berjaya mengutip sebanyak 148,428 botol plastik untuk dikitar semula menerusi program yang berlangsung di Dataran Bandaraya hari ini.

Kesemua botol plastik itu akan dikitar semula tanpa perlu melalui proses pembersihan awal sebagai inisiatif baharu KK Clean oleh DBKK dengan kerjasama Prestige Recycle Technique Sdn. Bhd.

Sehubungan itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, ia sebagai satu penyelesaian lebih praktikal melihat kepada lebih 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia yang memberi kesan besar jika tiada sistem pengurusan sisa berkesan.

“Pendekatan ini amat signifikan kerana bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos pengendalian sisa, malah mempercepat proses aliran kitaran semula.

“Selain itu, ia membolehkan bahan buangan diguna kembali sebagai bahan mentah industri dalam tempoh lebih singkat pada masa sama, mengurangkan penggunaan air dan menyokong agenda pengurangan jejak karbon,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian program KK Cleanup day 2.0 dan Pelancaran Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan di Dataran Bandaraya di sini semalam.

Ia sempena sambutan bulan kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini.

2,000 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, penduduk kampung serta pasukan keselamatan berganding bahu menjayakan program KK Cleanup Day 2.0 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025.

Selain mengutip 148,428 botol plastik dikitar semula, DBKK turut merekodkan 59 tan kutipan sampah domestik menggunakan 53 unit jentera.

Pada Januari lalu sempena pelaksanaan program ‘KK Cleanup Day 1.0’, sebanyak 100 tan sampah berjaya dilupus di seluruh kawasan awam, pasar awam, laut dan kampung kawasan kepulauan sekitar bandaraya Kota Kinabalu.