KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menzahirkan sokongan penuh terhadap cadangan supaya hukuman rotan diperkenalkan semula di sekolah bagi menangani masalah disiplin pelajar yang semakin membimbangkan.
Presidennya, Murkam Hussien, berkata insiden rogol membabitkan pelajar sekolah di Melaka baru-baru ini menunjukkan tahap disiplin pelajar kini semakin merosot dan memerlukan pendekatan tegas daripada pihak berkuasa pendidikan.
Beliau berkata, hukuman rotan bukan sekadar tindakan fizikal, tetapi satu bentuk pendidikan disiplin dan kawalan bilik darjah yang penting bagi membantu guru mendidik pelajar agar lebih berakhlak dan beradab.
“Kes rogol yang berlaku di dalam kelas sekolah di Melaka itu sepatutnya membuka mata semua pihak, khususnya guru dan ibu bapa. Ia bukti jelas bahawa kawalan disiplin pelajar kini berada di tahap membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Murkam, hukuman rotan sebelum ini pernah diamalkan dan terbukti berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar, namun ia mula dihapuskan apabila pandangan masyarakat lebih berpihak kepada kebebasan pelajar berbanding ketegasan sekolah.
Katanya, guru kini berdepan cabaran besar untuk mendidik pelajar kerana batas disiplin semakin longgar, manakala tindakan guru sering dipersoalkan oleh sesetengah pihak termasuk ibu bapa sendiri.
“Sudah tiba masanya pihak kementerian menilai semula dasar sedia ada dan mengambil langkah lebih tegas terhadap pelajar yang tidak berdisiplin, demi kebaikan semua pihak termasuk guru dan pelajar lain,” tegasnya.
Beliau berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mewujudkan mekanisme pelaksanaan yang jelas agar hukuman rotan dilaksanakan secara terkawal, beretika dan mendidik, bukan dengan niat menghukum semata-mata.