KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N.6 Bandau, Ardino Diris menegaskan beliau bersama lebih separuh Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu akan terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini meskipun STAR pusat telah mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan tersebut.
Menurut Ardino, keputusan berkenaan bukan mudah memandangkan beliau telah bersama Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan sejak tahun 2006 dalam perjuangan politik di peringkat negeri dan Parlimen Marudu.
Namun, beliau percaya GRS adalah platform terbaik untuk meneruskan agenda memperjuangkan hak-hak Sabah.
“Saya gembira kerana perjuangan yang dimulakan oleh Dr. Jeffrey dan Datuk Seri Yong Teck Lee kini menjadi perjuangan bersama semua pihak di Sabah termasuk NGO dan individu yang cintakan negeri ini. Saya bangga menjadi sebahagian daripada proses itu,” katanya di sini semalam.
Ardino turut menyatakan komitmen penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menurutnya berjaya membawa perubahan positif serta menunaikan sebahagian besar tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyifatkan GRS bukan sekadar gabungan politik, tetapi aspirasi rakyat Sabah untuk kestabilan dan kemajuan negeri.
Antara pimpinan STAR Bandau yang menyokong pendirian tersebut termasuk Naib Ketua Bahagian, Okiong Gintotok dan Jappri Taising; Setiausaha Bahagian, Helney Johari; Bendahari, Jennifer Mampahau; serta Ketua Penerangan, Felix Kain.
Turut bersama ialah 53 daripada 71 Ketua Cawangan serta beberapa Ketua Biro dan AJK Bahagian.
Dalam pada itu, Ardino turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Jeffrey atas segala tunjuk ajar sepanjang penglibatannya dalam STAR, dan menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menentukan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Penerangan STAR Pusat.