Kerjasama jentera, legasi Bung Moktar pacu kemenangan UMNO di Kinabatangan

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Muslimin berkata kemenangan UMNO di Kinabatangan membuktikan keberkesanan kerjasama menyeluruh antara jentera parti tempatan dengan sokongan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipacu oleh perancangan kempen yang tersusun serta ketiadaan isu besar yang boleh dimanipulasi pihak lawan untuk mempengaruhi sentimen negatif pengundi.

Musliati bersama wanita bersama pengundi di Kinabatangan.

Menurutnya, kemenangan tersebut digerakkan oleh kekuatan jentera UMNO Kinabatangan bersama 24 Bahagian Angkat dari seluruh negara yang digerakkan secara bersepadu, selain komitmen tinggi pasukan Mohd Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag yang bekerja secara agresif dan konsisten sepanjang tempoh kempen.

Katanya, gerak kerja berfokus kepada peringkat akar umbi membolehkan mesej parti disampaikan secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengundi terhadap calon dan hala tuju perjuangan parti.

Musliati bersama jentera Barisan Nasional di PRK Kinabatangan.

“Legasi perkhidmatan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin masih segar dalam ingatan pengundi dan memberi kesan positif terhadap sokongan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa sumbangan Allahyarham dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat terus menjadi rujukan pengundi.

Dalam masa sama, Musliati berpandangan kegagalan pihak Warisan mengetengahkan isu yang benar-benar relevan dengan keperluan serta kehendak rakyat setempat menyebabkan parti itu tidak berjaya mencetuskan gelombang sokongan yang signifikan.

Musliati bersama pengundi di PRK Kinabatangan dan DUN Lamag.

Beliau berkata, pengundi kini lebih matang dalam menilai kepimpinan berdasarkan rekod perkhidmatan, keikhlasan serta kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, berbanding sekadar retorik politik.

Menurutnya lagi, keputusan di Kinabatangan menunjukkan bahawa pendekatan politik berteraskan khidmat, kerjasama dan kestabilan masih menjadi pilihan utama rakyat dalam menentukan masa depan kawasan mereka.