KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bekerja keras memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah selepas gangguan besar susulan kerosakan talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud baru-baru ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha tanpa mengenal penat lelah itu berjaya memulihkan bekalan sepenuhnya sekali gus mengembalikan kelegaan kepada ratusan ribu pengguna.
“Pengorbanan wira lapangan SESB ini jelas menunjukkan kesungguhan mereka memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang sering dianggap biasa setiap hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau dalam masa sama melahirkan rasa sedih dengan laporan mengenai seorang kakitangan SESB yang dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras di Apin-apin, Keningau, ketika bertugas.
“Saya berdoa agar operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan, selain keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran bekalan elektrik di Sabah, Nizam berkata ia adalah isu legasi yang memerlukan masa serta perancangan menyeluruh untuk ditangani.
Katanya, pelan jangka panjang yang sedang dilaksanakan melalui Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) penting bagi memastikan sistem tenaga lebih stabil dan mampan.
Beliau berkata, beberapa projek tenaga bernilai RM260 juta telah siap, termasuk Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu, Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang, PPU Ranau, PPU Batu Sapi, PMU Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Selain itu sistem perlindungan dalam talian (Protection On-Line Monitoring) dan Sistem Pengukuhan 11kV Labuan.
“Kerajaan Negeri melalui agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan terus memastikan infrastruktur asas seperti elektrik, air dan jalan raya dipertingkatkan secara berperingkat.
“Cabaran yang diwarisi ini tidak boleh diselesaikan dengan retorik, sebaliknya memerlukan kesungguhan, pelaburan serta kerjasama erat antara negeri dan persekutuan,” katanya.