Kereta terjunam ke lubang 7 meter, seorang maut

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang pembentungan sedalam tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.04 pagi itu, Toyota Vigo dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan jatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) selebar 6.5 meter yang sedang dalam pembinaan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBKII Mohd Noor Asri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam lubang menggunakan peralatan tali dan pengusung. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian, manakala seorang lagi cedera dan mengalami patah tangan,” katanya.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Almadi Hassan, manakala mangsa cedera ialah Wilyamil Ahajul, 34 tahun, yang kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan. Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.07 pagi selepas pasukan bomba memasang sawar keselamatan dan memastikan kawasan kejadian selamat.