Kerajaan MADANI perkukuh pembangunan Sabah, Sarawak – Mustapha

KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pembangunan di Sabah dan Sarawak bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, usaha itu selaras dengan tekad Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan mampan.

Menurutnya, pembangunan di Sarawak digerakkan melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur serta penyediaan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Sementara itu, katanya, Sabah terus diberi keutamaan menerusi pelaksanaan projek pembangunan asas, peningkatan kemudahan awam dan usaha merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah secara menyeluruh.

“Kerajaan MADANI turut menekankan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus dipelihara secara adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, manfaat pembangunan perlu disalurkan secara langsung kepada rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, Mustapha mengalu-alukan langkah kerajaan memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan tinggi.

“Inisiatif perumahan rakyat seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat serta skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia turut menjadi antara fokus kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri, sebaliknya memastikan Sabah dan Sarawak kekal sebagai rakan strategik penting dalam pembinaan Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.