Keputusan Mahkamah Uji Keikhlasan Putrajaya Terhadap Sabah – Suhaimi

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah menjadi ujian sebenar keikhlasan Putrajaya dalam menghormati hak negeri ini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, isu tersebut bukan sekadar perbahasan politik atau teknikal semata-mata, tetapi menyentuh asas keadilan dan kesetaraan yang menjadi tonggak hubungan Sabah dengan Persekutuan Malaysia.

“Keputusan Mahkamah yang mengarahkan semakan semula dalam tempoh 90 hari membuktikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih hidup dan relevan dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah pembetulan sejarah selepas hampir lima dekad kelalaian apabila semakan hasil Sabah tidak pernah dilakukan secara menyeluruh sejak 1974.

Suhaimi menyeru Kerajaan Persekutuan agar tidak berlengah-lengah melaksanakan keputusan mahkamah secara telus, jujur dan berprinsip, sambil menegaskan bahawa keadilan fiskal bukan ihsan, tetapi hak yang dijamin Perlembagaan.

Antara cadangan yang disuarakan ialah audit bebas bersama Kerajaan Sabah bagi menilai hasil sebenar sejak 1974, laporan berkala kepada Parlimen dan DUN Sabah untuk memastikan ketelusan, serta penubuhan mekanisme semakan tetap agar hak Sabah tidak lagi dipinggirkan.

“Sabah tidak menuntut lebih daripada apa yang dijanjikan — kami hanya mahu hak kami dikembalikan dan janji Persekutuan ditunaikan,” tegasnya.

Suhaimi turut menzahirkan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) atas keberanian dan konsistensi memperjuangkan isu ini di mahkamah, menyifatkan perjuangan mereka sebagai suara keadilan rakyat Sabah yang tidak boleh dipadamkan.