PUTATAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata kempen ziarah komuniti dan walkabout terus menjadi pendekatan utama dalam usahanya mendekati pengundi.
Ini khususnya kelompok belia yang membentuk hampir 60 peratus komposisi pengundi di kawasan itu.
Menurutnya, pendekatan lapangan sebegitu penting bagi memahami isu setempat secara langsung, selain memperkenalkan agenda dan aspirasi yang dibawanya dalam Pilihan Raya DUN Sabah.
“Saya mewakili barisan calon muda GRS, jadi pendekatan kami selari dengan arahan pucuk pimpinan — turun ke akar umbi dan berjumpa seramai mungkin pengundi.
“Di Tanjung Keramat, majoritinya pengundi belia. Sebab itu aktiviti walkabout dan ziarah komuniti ini lebih efektif dan dekat dengan sasaran,” katanya selepas sesi walkabout di sekitar Pekan Putatan dan Dataran Pomoi, hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian PGRS Tanjung Keramat, Ir Umar Ariff Abu Bakar bersama jentera GRS kawasan berkenaan.
Shah Alfie berkata program tersebut menerima respons positif, termasuk daripada peniaga dan penjaja setempat.
“Alhamdulillah, penerimaan sangat baik. Kami dapat bersua muka, dengar isu mereka, dan memahami keperluan ekonomi semasa.
“Antara perkara yang mereka bangkitkan ialah isu ekonomi dan peluang pendapatan. Ini memang sejalan dengan salah satu fokus aspirasi saya — meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat di DUN Tanjung Keramat,” katanya.
