Kemenangan Besar Untuk Sabah, Putrajaya Jangan Rayu Lagi – Madius 

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah sebagai kemenangan besar buat rakyat negeri ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Mahkamah dan memuji keberanian Sabah Law Society (SLS) yang berjaya membawa perjuangan ini ke peringkat tertinggi sehingga membuahkan keputusan bersejarah.

“Keputusan ini bukan sekadar kemenangan SLS, tetapi kemenangan seluruh rakyat Sabah yang sekian lama menantikan keadilan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kkenyataan di sini semalam.

Madius berharap Kerajaan Persekutuan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, sebaliknya menghormati keputusan mahkamah dan segera melaksanakan tanggungjawab yang telah diputuskan.

Menurut keputusan Mahkamah Tinggi, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40 peratus yang wajar dikembalikan kepada Sabah, sebelum bayaran dilaksanakan dalam tempoh 180 hari selepas rundingan selesai.

“Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, saya konsisten memperjuangkan isu ini di Dewan Rakyat. Dalam perbahasan Belanjawan 2026 baru-baru ini.

“Saya menegaskan bahawa bajet negara masih belum mencerminkan kedudukan Sabah sebagai rakan setara (equal partner) dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak – Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SLS – untuk bekerjasama dengan penuh keikhlasan demi memastikan keputusan mahkamah ini dilaksanakan segera.

“Syukur kepada Tuhan, keputusan ini berpihak kepada Sabah. Kini tanggungjawab kita ialah memastikan hak negeri ini benar-benar dikembalikan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Sabah yang kita cintai,” katanya.