Kemasukan awal Darjah Satu: Progresif di atas kertas, sistem belum bersedia

Oleh Dr Juppri Bacotang, Universiti Malaysia Sabah.

KOTA KINABALU: Dasar kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke Darjah Satu mulai 2027 dilihat sebagai langkah progresif.

Namun, realitinya sistem pendidikan negara khususnya di Sabah masih belum benar-benar bersedia untuk melaksanakannya secara menyeluruh.

Jurang akses kepada pendidikan awal kanak-kanak masih ketara, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ramai kanak-kanak tidak mengikuti prasekolah berkualiti, malah ada yang tidak pernah menerima pendidikan awal formal.

Keadaan ini berisiko memberi kelebihan kepada kanak-kanak bandar dan sekali gus memperkukuh ketidaksamaan pendidikan.

Dasar ini juga mudah disalah tafsir sebagai ukuran kecerdasan akademik kanak-kanak.

Pendidikan awal seharusnya menumpukan pembangunan emosi, sosial dan sahsiah, bukan sekadar mempercepatkan penguasaan membaca dan mengira.

Tanpa garis panduan penilaian kesediaan yang jelas, tekanan ibu bapa boleh menggantikan pertimbangan perkembangan sebenar kanak-kanak.

Sekolah luar bandar dan pedalaman di Sabah masih berdepan kekurangan guru terlatih serta kemudahan asas.

Kemasukan murid lebih muda tanpa penambahan guru dan pengurangan nisbah murid kepada guru hanya akan meningkatkan beban tugas pendidik serta mendedahkan murid kepada tekanan emosi dan risiko keciciran secara senyap.

Implikasi kewangan dasar ini jarang dibincangkan secara terbuka. Pelaksanaan kemasukan awal memerlukan pelaburan besar dalam latihan guru, infrastruktur dan bahan pembelajaran sesuai umur.

Tanpa komitmen kewangan yang jelas, dasar ini berisiko menjadi eksperimen pendidikan yang menjejaskan kanak-kanak paling rentan.

Kesimpulannya, isu utama bukan umur kemasukan ke Darjah Satu, tetapi kesiapsiagaan sistem pendidikan.

Tanpa peluasan prasekolah berkualiti, bilangan guru mencukupi dan sokongan sumber yang kukuh, dasar ini berpotensi membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.